KUCHING : Projek Pemuliharaan Bangunan Muzium Sarawak telah disiapkan mengikut standard pemuliharaan antarabangsa dengan mempamerkan sejarah pembangunannya dan koleksi alam semulajadi.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Muzium Sarawak yang telah dibina semasa pemerintahan Rajah Charles Brooke dalam tahun 1981 itu merupakan satu ikon penting kepada pembangunan sosioekonomi negeri ini yang menarik jutaan pengunjung, sekaligus menjadi pemangkin kepada kemajuan Bandaraya Kuching.
Sehubungan dengan itu, beliau mengucapkan syabas kepada Jabatan Muzium Sarawak kerana telah berjaya mengubahsuai serta memelihara sebuah bangunan lama yang masih utuh dan tersegam megah itu dengan terus menghasilkan idea-idea baharu serta menjayakan beberapa aktiviti melibatkan orang ramai untuk kekal relevan dalam dunia digital ini.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkasnya bersempena sambutan ulang tahun Muzium Sarawak yang ke-130 pada Rabu.
Justeru, beliau menyeru agar semua kakitangan Muzium berganding bahu dan bekerja lebih keras demi memastikan muzium dan warisan negeri sentiasa terjaga.
Hadir sama, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan,Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak,Hii Chang Kee, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak,Tazudin Mohtar dan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara,Dr Morshidi Ahmad. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS